Kelunturan terumbu karang semakin serius?

Ketika ramai yang berbicara tentang kemusnahan hutan, kepupusan haiwan terancam ataupun pencemaran alam sekitar, sedarkah kita bahawa terumbu karang juga berdepan dengan kepupusan? Ya, terumbu karang!

Mungkin ada yang tertanya – tanya, bagaimana ianya boleh terjadi? Bukankah terumbu karang hanya sekadar batuan yang berada di dasar laut? Jika anda fikirkan sedemikian, anda silap.

Kehadiran pelancong turut menyumbang kepada kelunturan terumbu karang.

Terumbu karang yang dapat dilihat di dasar laut dengan pelbagai warna sebenarnya membesar amat perlahan, sekitar 0.5 sentimeter hingga 2 sentimeter setahun. Justeru, tidak hairanlah pertumbuhan terumbu karang dewasa memakan masa berpuluh – puluh tahun.

Sudahlah tumbesarannya mengambil masa berpuluh – puluh tahun, malah ada spesis yang jarang ditemui, namun ada yang masih tidak menyedari ketika ini sedang berlakunya kelunturan terumbu karang, atau bahasa mudahnya, terumbu karang mati dengan perlahan – lahan.

Pelbagai faktor terjadinya fenomena ini, yang paling signifikan, ia berlaku disebabkan peningkatan suhu dan keasidan air laut yang mendorong kepada berlakunya fenomena ini.

50% populasinya di Great Barrier Reef musnah akibat kelunturan terumbu karang.

Mungkin di Malaysia, amat jarang sekali kedengaran tentang fenomena kelunturan karang, namun tidak semestinya kita boleh ambil ringan tentang perkara yang serius ini.

Contoh jelas, Great Barrier Reef yang terletak di Australia apabila separuh terumbu karangnya musnah akibat dari peningkatan suhu laut sejak tahun 2016, memetik artikel National Geographic.

Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan struktur batu karang itu berubah, malah turut memberi kesan terhadap ekosistem marin di sesuatu kawasan terbabit.

Menurut kajian yang dijalankan, kejadian di Great Barrier Reef itu adalah disebabkan paras kepekatan karbon dioksida (CO2) di atmosfera sekitar 40 bahagian perjuta (ppm) dan dijangka berlaku pertambahan sebanyak 2ppm setahun. Sekiranya ini berlaku, pada 2050 dijangka paras CO2 di atmosfera meningkat kepada 500 ppm.

Terumbu karang yang sihat, menyediakan habitat yang selesa kepada semua hidupan marin (Green sea turtle).

Malah, faktor manusia juga menyumbang kepada kejadian ini, apabila terdapat terlalu ramai pelancong yang melawat ke kawasan berkenaan.

Kepentingan terumbu karang ini sebenarnya adalah kepada hidupan marin itu sendiri yang menjadi sumber makanan dan habitat kepada ikan selain menjadi perlindungan kepada haiwan kecil.

Jadi, sebelum terumbu karang yang berada di sekitar perairan Malaysia, seperti di beberapa taman laut Pulau Tioman, Pulau Perhentian dan Sabah musnah, baiklah dipelihara dengan sebaiknya.

Karang lembut yang sihat, mempunyai warna yang menarik selain menjadi sumber makanan kepada hidupan marin (Anemonefish)

Kita boleh berbangga dengan keindahan dan kecantikan taburan pulau di Malaysia, terutamanya di Pantai Timur Sabah iaitu di Pulau Sipadan yang menjadi tumpuan para pelancong luar negara, namun tidak mustahil ianya akan hilang satu hari nanti, jika tiada kesedaran dari manusia.

Selari dengan usaha ini, Pusat Sains Negara sedang giat mempromosi kempen Hindari Plastik Sekali Guna yang mahu mendidik orang ramai agar tidak menggunakan plastik sekali guna yang boleh memberi kesan kepada ekosistem.

Bermula dengan memberi kesedaran di peringkat awal kanak – kanak, kempen ini diharap mampu memelihara ekosistem negara pada masa hadapan untuk terus mapan.

Terdahulu
Jumlah Pengunjung PSN
21-Nov-2024 : 1548 Orang
Bulan Lepas : 52725 Orang
Bulan Ini : 28756 Orang